Anak Perantau di Hari Merdeka
![]() |
Dua ribu tujuh...
Aku mula melangkah pergi —
Berpisah dari tanah sendiri.
Berat rasa hati,
Pasrah berlapik redha,
Meninggalkan bumi...
Tempat aku mula hidup.
Dari layar kecil...
Ke udara luas,
Suara dulu lantang,
Kini bergema jauh.
Merdeka?
Aku sambut dengan jiwa besar,
Walau jasad terpisah arah.
Dulu aku di pentas,
Di depan kamera,
Melapor nadi rakyat,
Mengangkat semangat bangsa.
Sorakan merdeka —
Bendera kita, naik megah di angkasa!
Menjulang erti MERDEKA!
Wartawan cekal,
Menulis bukan sekadar berita —
Tapi jiwa.
Jiwa yang disulami
Jantung hati bangsa,
Semangat negara
Kita laungkan bersama.
Tapi kini…
Aku meniti hari di bumi asing.
Kenangan tanah air
Bersemi…
Di dalam hati paling dalam.
Sekali kembali…
Selebihnya cuma rindu.
Rindu pada tanah tumpah darah,
Rindu pada bangsa yang tak pernah hilang arah.
Kawan? Keluarga?
Masih di sana —
Dalam tawa, dalam gurau, dalam irama lama.,
Yang tak pernah pudar, walau masa berjalan.
Jauh?
Ya, jasadku mungkin terpisah.
Tapi roh dan cintaku?
Tak pernah lelah,
Tak pernah goyah,
Kerana bagi aku…
Merdeka bukan sekadar laungan tahunan—
Bukan hanya kibaran bendera di angin petang,
Tetapi…
Erti perpaduan dalam tindakan.
Dalam pengorbanan,
Dalam rasa menghormati perbezaan,
Dalam jiwa,
Dalam cara kita saling menjaga.
Tiada warna,
Tiada kasta,
Tiada darjat!
Kerana kita —
Satu.
Kerana kita satu-
Warisan keramat.
Anak watan — darah yang sama!
KITA SEMUA SATU!
Warisan keramat,
Anak-anak tanah yang sama.
Bumi bertuah ini,
Melahirkan jiwa-jiwa pelbagai rupa —
Tapi sehati,
Sekata,
Sekaya jiwa!
Inilah Malaysia…
Yang aku rindui.
Bangsa Bersatu.

Comments
Post a Comment