Satu Kita
Satu Kita
oleh Teynmoli Subramaniam sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63, 31 Ogos 2020

Kita semua sama.
Bersama sudah sampai di dataran indah,
Menempuh jalanan yang masih mencabar.
Ada penegak, ada penyangak; tapi yang satu tidak digoyah.
Kerana sudah diasuh kita- adat bersatu, adat bersuara dan adat bermaruah.
Kita semua satu.
Ayuh sama-sama kita mendaki-
Menempuh pencakar jalanan; menangkis yang buruk dan bongkak.
Bersatu menyanggah musuh; Berpayungkan ketelusan dasar dan rukun.
Ayuh sama-sama kita bertegak
menghormati hak semua, hak negara; kerana tiada yang lain dalam satu-
satu negara; satu bangsa.
Ayuh sama-sama kita merakit
Menempuh taufan dan ombak bergelora; menyanjung negara dan mengerti Merdeka.
Merdeka negara, merdeka bangsa dan merdeka minda.
Ayuh kawan, kita keluarga.
Tidak mengeluh, tidak berpenat.
Rajin membentuk geluh dan menguji diri- Mengatur tapak ke puncak yang masih jauh.
Ayuh keluarga- kita negara
berbekal semangat dan matang otak.
Yang jauh akan dekat; kerana tekad - menunggak menara aman; menunjang yang benar.
Utuh mengangkat bangsa.
Payah kita disongsangkan -apatah lagi dicicir, dicalar atau dicakar.
Kerana yang faham maksud negara itu sama. Sama tulen dan sama jati.
Kita semua sama
Kita semua anak Malaysia.
Comments
Post a Comment